Sunday, February 7, 2010

Rezeki sarung parang
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my


Hulu parang dan sarung parang hasil kerja tangan Musa.



Sejak berumur tujuh tahun, Musa sudah menjadi OKU selepas terjatuh ketika bermain bersama rakan sebaya

AGAK menarik mendengar cadangan dan perbahasan mengenai ganti nama Orang Kurang Upaya (OKU) kepada Orang Kelainan Upaya. Walau apa pun keputusan dan penerimaan masyarakat, ia masih merujuk kepada golongan istimewa tanpa merubah apa-apa, kecuali namanya ditukar.

Jika OKU diganti Orang Kelainan Upaya, ia lebih merujuk kepada keupayaan golongan berkenaan yang hidup dalam dunia serba serbi kurang berbanding manusia normal.



Ia juga sebenarnya mencerminkan keinginan, keupayaan serta kesungguhan OKU menggunakan segala kudrat dan kemahiran yang ada untuk berdikari menguruskan diri atau mencari rezeki tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan.

Musa Ahmad, 61, adalah antara OKU yang membuktikan hakikat 'rezeki tidak akan datang bergolek' jika tidak berusaha. Menggunakan tulang empat kerat dengan kemampuan dan pergerakan terbatas, semua itu bukan halangan baginya mencari rezeki halal.

Lumpuh separuh badan ketika usianya baru memasuki tujuh tahun membuatkan Musa sedar beliau mesti mempunyai kemahiran tertentu bagi membolehkannya hidup berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada keluarga.



Musa merangka sarung parang yang diperbuat daripada kayu serian batu.



Bergerak menggunakan tangan dan hanya perlu duduk untuk melakukan sesuatu sebenarnya memberi kelebihan kepada Musa kerana beliau boleh menghabiskan masa yang lama di sesuatu tempat. Keadaan itulah yang mendorongnya mengusahakan kraftangan membuat hulu dan sarung parang.

Bertempat di sebuah pondok kecil di depan rumah keluarganya di Kampung Sekolah Perempuan, Lenggong Perak, Musa sudah menghabiskan usia hidupnya di situ sejak 10 tahun lalu. Rezekinya murah dan beliau cukup bertuah kerana Allahyarham ayahnya Ahmad Darta sempat mencurahkan ilmu seni 'besi' kepadanya.

"Syukurlah Tuhan bagi rezeki, ada sikit kemahiran dan saya usahakan. Setakat ini, rezeki sentiasa ada. Jika sesiapa yang berhajat atau nak menempah hulu atau sarung parang, mereka akan datang ke sini.

"Walaupun kaki saya lumpuh, tetapi Tuhan masih bagi kekuatan pada kedua-dua tangan dan akal untuk berfikir, cari idea kreatif buat kerja. Saya tak pernah menyesal dan bersyukur dengan keadaan yang ada, mungkin ada lagi orang lain yang lebih susah daripada saya," katanya.

Menyingkap sejarah ringkas hidupnya sebagai OKU, Musa menjelaskan segala-galanya bermula ketika beliau sedang menikmati hidup dengan berlari bersama rakan sebaya. Tiba-tiba beliau terjatuh dan kemudian disahkan lumpuh.

Peristiwa hitam pada 1962 itu mengakibatkan Musa terpaksa menghabiskan masa selama setahun di Hospital Kuala Kangsar sebelum dibawa ke Hospital Ipoh untuk rawatan susulan selama dua tahun. Sepanjang tempoh itu hingga dewasa membuatkan Musa sedar Tuhan masih sayangkannya tetapi sebagai manusia, sentiasa kena berusaha dan bersedia untuk hidup sebagai OKU.

Ketika Berita Minggu menemui Musa di bengkelnya, kelihatan lebih 10 pasang parang bersarung siap dipasang, semuanya sudah berpunya atau ditempah. Katanya, pelanggan akan datang bila-bila masa ambil tempahan mengikut selera masing-masing.

Selain menyiapkan sarung dan hulu parang mengikut tempatan, Musa juga membuat sendiri hulu dan sarung parang secara pasang siap dan pelanggan boleh membeli dengan harga yang agak murah atau membayar dengan nilai lebih tinggi jika mahukan barangan ekslusif yang ditempah khas.

Bayaran upah antara RM40 hingga RM180 bagi sebilah parang bersarung membolehkan Musa hidup tanpa terlalu bergantung kepada keluarga. Bahkan ada upah yang lebih mahal daripada itu bergantung kepada jenis tempahan.

Di bengkel kecil itu, Musa menghabiskan masa sepanjang siang untuk bekerja, berehat dan menyambung kerja sambil mencari idea menyiapkan corak sarung parang. Di depan bengkel terletak rumah adiknya, Sofiah dan Rozila. Di situlah Musa tinggal dan menghabiskan masa bermesra bersama anak saudaranya.

Berdasarkan hasil kreatif ukir kayu yang dimilikinya, tidak hairanlah hasil tangannya pernah menjadi hadiah kepada Istana Perak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Bagi Musa, kedudukan Lenggong yang dikelilingi hutan dan banjaran memberikan kelebihan kepada pengusaha seni kreatif kayu sepertinya kerana beliau mempunyai banyak pilihan mendapatkan pelbagai jenis kayu yang diingininya.

Kebiasaannya, beliau akan membeli kayu daripada penduduk kampung dan ada juga pelanggan yang membawa terus kayu ke bengkelnya untuk dibuat hulu dan sarung parang. Baginya, kayu paling cantik untuk dibuat sarung ialah jenis serian batu dan serian bawang.

Profil: Musa Ahmad

1) Mempunyai lima adik dan abang
2) Dilahirkan pada 17 Mac 1948
3) Berasal dari Ulu Lenggong, Perak
4) Anak kepada Allahyarham Ahmad Darta.


INFO: Jenis kayu dijadikan hulu dan sarung parang
Serian
Ciku
Rengas
Kemuning Hitam
Kuping Besi
Limau Bali
Nangka

No comments:

Post a Comment