Tuesday, February 16, 2010

REMODIFIED PROJECT

Salah satu projek yang terbaru ... iaitu memodified satu tumbuk lada milik seorang kawan dari ILP Kangar. Kesemua kaayu yang di gunakan adalah daripada tukang yang asal , cuma yang di lakukan adalah dengan menambah ukiran pada bahagian sampir , bahagian buntut pada hulu di tambah dengan kayu lain dan di ukir dan bahagian buntut sarung pula di tambah kayu lain dan di ukir. Jenis kayu bahagian sampir tidak di ketahui manakala bahagian hulu pula daripada kayu kemuning.


Pandangan Mata dan sarung

Pandangan Tunbuk Lada di dalam sarung.


Sunday, February 7, 2010

PAKAR SENI UKIRAN MELAYU

Pakar seni ukiran Melayu
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my




Rosman Talif menunjukkan seni ukirannya.

Rosman dikenali kerana hasil tangannya yang menarik termasuk sepasang keris disimpan Ratu England

KETIKA rakan seusia 18 tahun mula mengintai peluang melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi terutama ke menara gading, Rosman Talif sudah mula menapak dalam industri seni ukir.

Langkahnya bermula dengan menimba ilmu asas ukiran di pusat kraftangan Temerloh, Pahang selama setahun setengah dan daripada situ bermula hidupnya sebagai tukang ukir apabila diterima bekerja di Kelantan Woods Craf pada awal 1980-an.

Pengalaman bekerja selama 10 tahun di syarikat berkenaan di bawah dua pengurusan berbeza iaitu adik beradik Abdul Rahman Long dan Latif Long banyak mengajarnya erti kedewasaan dalam dunia seni ukir.

Bukan cakap-cakap kosong, tetapi hasil buatan tangannya sudah tersebar ke merata ceruk dan paling membanggakan, sepasang keris bersarung lengkap yang diukir halus pernah dianugerahkan kepada Ratu England oleh kerajaan Malaysia ketika menghadiri sidang Komanwel di Kuala Lumpur.

Itu hasil kerjanya ketika masih berkhidmat dengan Kelantan Woods Craff dan kini anak kelahiran Melaka ini nekad untuk mencipta ‘jenama’ sendiri.


Antara ilham Rosman, ulu keris berbentuk kepala singa dan burung (bawah).



Cukup yakin dengan kemampuan diri berbekalkan pengalaman serta kemahiran yang dimiliki, beliau menubuhkan syarikat Seni Ukir Teras yang diusahakan di bengkel bersebelahan rumahnya di Kampung Pauh Dara, Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan.

Kini, beliau mengusahakan seni ukir membuat sarung keris, ulu keris, parang, ukiran dinding termasuk menyediakan keris diraja dan ukiran dinding untuk istana.

Keistimewaannya cukup jelas, beliau masih percaya dan berpegang kepada hasil kerja secara tradisional, menggunakan kaedah lama buatan tangan kerana baginya, buatan itu dianggap eksklusif dan khas untuk pelanggan yang menempahnya.

“Ukiran halus paling susah dan mahal ialah menggunakan gading gajah. Biasanya ia khas untuk membuat ulu dan sarung keris diraja dan boleh disiapkan dalam tempoh sebulan, cukup rumit dan keras. Bukan boleh guna sembarangan pahat, memang kerap mata pahat patah,” katanya.

Menyingkap sejarah ringkas hidupnya, bapa kepada dua anak ini sebenarnya pernah bertugas sebagai pengukir ais untuk majlis khas di hotel di ibu negara. Berdasarkan kemahiran mengukir kayu, beliau dianggap layak menjalankan tugas berkenaan.

Kini, pengalaman mengukir kayu dan ais itu digabungkan dalam menghasilkan ukiran halus berkualiti kerana secara asasnya walaupun kedua-duanya adalah ukiran, tetapi ia di pentas berbeza iaitu kayu dan ais.

“Kedua-duanya memerlukan ketelitian dan perlu banyak bersabar kerana ukiran sebenarnya adalah luahan hati pengukir, jiwa perlu tenang ketika bekerja. Ukiran ais cukup sukar, jika tersilap teknik, ia akan pecah dan semuanya akan musnah.

“Konsep sama dalam hal ukiran kayu, kena jaga teliti bahan yang terhad. Ketelitian itu akan membuahkan hasil seni cukup halus dan menarik. Ia seolah-olah sama seperti pelukis, mempunyai identiti sendiri, cuma nama pengukir tidak dicetak pada ukiran,” katanya.

Mengulas bagaimana menghasilkan seni ukir yang baik, Rosman menjelaskan ia perlu menjiwai peranan setiap ukiran dengan memberi contoh sepasang keris siap bersarung ukir umpama seseorang yang lengkap berpakaian.

Baginya, bagaimana seseorang perlu kelihatan cantik melalui cara berpakaian, hiasan diri dan kekemasan, begitu jugalah sepasang keris bersarung perlu digubah dan dihias cantik kerana ia mencerminkan identiti pembuat dan pemiliknya.

“Kita perlu pastikan sapir (ulu keris) perlu secocok dengan matanya, kemudian barulah timbul idea bagaimana nak memadankan dengan corak sesuai dan menepati cita rasa pelanggan.

“Sapir umpama baju kepada keris, batang serunai umpama seluar dan penutup sarung di bawah umpama kasut atau tumit. Semuanya perlu dipadankan selaras dan nampak menarik, bukan sembarangan,” katanya.

Berdasarkan pengalaman dan kemahiran dimiliki, Rosman turut menerima tanggungjawab daripada beberapa agensi yang memintanya berkongsi pengalaman termasuk mengadakan kursus untuk warden penjara dan kursus intensif kayu anjuran perbadanan perkayuan Malaysia di Cheras.

Profil : Rosman Talif
Umur : 44 tahun
Alamat : No 4, Kampung Pauh Dara, Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan.
Asal : Kampung Morten, bandar Melaka.
Isteri : Nik Som Latif, 29
Anak : Mohd Iman, 8
Nik Nurulsifa, 6.
Nama syarikat: Seni Ukir Teras.

Info: Tema ukiran keris
Mata anak alang dan ulu tajung khas untuk keris tajung
Sapir cenuk (berasal dari Pattani, Thailand)
Sapir buah kering
Sapir Semenanjung
Sapir Bugis

Jenis kayu:
Kemuning - paling cantik, padat dan sedaging, tak mudah serpih, pecah, sesuai untuk ukiran halus.
Gading gajah: paling mahal dan biasa khas untuk keris diraja.
Halban.
Sena.
Cengal (ukiran dinding)

Tema ulu keris pilihan:
Jawa demang,
Anak ayam,
Burung kakak tua,
Tajung,
Tapak kuda,
Anak ayam teleng,

Proses membuat kraf sarung senjata:
Tempoh menyiapkan sebilah keris siap bersarung: sebulan.

Harga paling murah untuk asas sarung ialah RM150
Sarung golok, parang, pisau

Tema pilihan pelanggan: Harimau dan burung.

Bekalan kayu: Gua Musang, Kelantan dan Terengganu.

Kemahiran lain:
Membuat tiang larik untuk rumah tradisional.
Tongkat khas: termasuk untuk Datuk Seri Dr Rais Yatim (RM5,000) pada 2006.
Membuat cokmar
Singgahsana Diraja.

PEMBUAT KERIS TRADISI - PAK MAZIN KUALA KANGSAR


PERSONALITI Pembuat keris tradisi
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my



Hulu Keris Ayam Teleng dan Ayam Sejuk (kiri).

Keluarganya diamanahkan membuat keris untuk pembesar dan keluarga diraja Perak

ISTILAH tidak kenal maka tidak cinta cukup popular dalam kehidupan masyarakat Melayu tetapi dalam seni tradisi pembuatan keris warisan, ia sebenarnya berlawanan. Tidak cinta maka tidak kenal kerana pekerjaan membuat keris memerlukan individu yang cukup cintakan keris, barulah layak mewarisi tradisi itu.

Jika sudah jatuh cinta barulah timbul minat untuk mengetahui, mendalami apa saja maklumat berkaitan keris, teknik serta segala petua menghasilkan seni warisan berkualiti.

Hakikat itu diakui pewaris generasi keempat pembuat keris di Kuala Kangsar, Perak, Abdul Mazin Abdul Jamil, yang secara tradisinya sering diamanahkan membuat keris untuk pembesar istana dan keluarga diraja.

Bagi Abdul Mazin yang mewarisi kemahiran seni pembuatan besi daripada moyangnya yang dikenali sebagai Tukang Mamat, bukan mudah untuk membentuk, melatih mencari bakat baru bagi menyambung warisan bangsa kerana ia memerlukan individu yang cukup berminat dengan penuh komitmen.

Beliau yang belajar membuat keris daripada ayahnya, Allahyarham Abdul Jamil Pandak Lam Pandak Yunus sejak berusia 12 tahun, berkata proses awal ke arah itu ialah belajar mengenal besi yang mempunyai pelbagai jenis dengan memilih campuran yang paling sesuai.


Abdul Mazin menempa keris di bengkel.


“Ilmu paling asas ialah mesti bijak dan mengenal jenis besi yang digunakan. Besi membuat keris adalah campuran pelbagai jenis jenis yang terdiri daripada besi tawar, besi baja dan besi melela.

“Contohnya, paku ialah sejenis besi tawar, gergaji dan spring kenderaan ialah besi baja, manakala besi melela ialah gabungan kedua jenis besi berkenaan, misalnya besi tingkap rumah. Besi itu digabung dan dicantumkan sehingga mampat, barulah boleh ditempa untuk membentuk keris,” katanya.

Berdasarkan apa yang diwarisi secara turun temurun, petua memilih besi mengikut tiga jenis asas pilihan tadi juga mesti berdasarkan asas tujuh jenis besi bermula dengan huruf ‘P’ iaitu paku, payung, pahat, puting, pagar, pisau dan penyodok.

Besi padat tujuh lapisan yang digabungkan itu akan ditempa dan dibentuk mengikut tempahan serta jenis keris yang dikehendaki.



Secara tradisinya pembuat keris akan menggunakan kaedah tradisional menggunakan pengepam tangan atau kaki bagi membekalkan oksigen ke dalam dapur. Perubahan teknologi itu nyata memudahkan kerja dan menjimatkan tenaga.

Namun, proses mengetuk dan membentuk masih secara tradisional menggunakan pengetuk beralaskan batang besi dan ada yang menggunakan rel landasan kereta api.

“Keris yang sudah siap ditempa sebenarnya akan menghasilkan corak tersendiri, ia asli dan semula jadi hasil gabungan tujuh lapis besi. Itu yang membezakan corak setiap keris. Corak itu akan kekal walaupun dibakar semula.

“Sebab itulah, keris yang sudah siap akan diperam selama seminggu menggunakan belerang kuning bercampur garam halus dan air cuka untuk mengekal dan menimbulkan imej corak,” katanya.

Peringkat seterusnya ialah kemahiran mengukir kayu untuk membuat sarung, ulu dan semuanya memerlukan penelitian. Kebiasaannya sepasang sarung keris akan dihasil menggunakan empat jenis kayu berbeza bermula di ulu, sampir, batang dan kasut sarung keris.

Menyingkap kenangan manis sebagai pembuat keris sepenuh masa, Abdul Mazin cukup berbangga kerana hasil tangannya pernah dijadikan keris milik pergerakan Pemuda Umno yang dinamakan Panca Warisan yang melambangkan keutuhan, keberanian dan kekuatan orang Melayu.

Kemahiran seninya juga perlu diiktiraf apabila ramai pelajar luar negara dari England dan Jepun datang belajar di bengkelnya bahkan, beliau pernah menghasilkan keris khas sempena Jubli Emas Sultan Kedah pada 2003.

Info

Corak pada batang besi
Sisik ikan
Beras tumpah
Pucuk rebung
Tapak gajah
Isi petai


Rezeki sarung parang
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my


Hulu parang dan sarung parang hasil kerja tangan Musa.



Sejak berumur tujuh tahun, Musa sudah menjadi OKU selepas terjatuh ketika bermain bersama rakan sebaya

AGAK menarik mendengar cadangan dan perbahasan mengenai ganti nama Orang Kurang Upaya (OKU) kepada Orang Kelainan Upaya. Walau apa pun keputusan dan penerimaan masyarakat, ia masih merujuk kepada golongan istimewa tanpa merubah apa-apa, kecuali namanya ditukar.

Jika OKU diganti Orang Kelainan Upaya, ia lebih merujuk kepada keupayaan golongan berkenaan yang hidup dalam dunia serba serbi kurang berbanding manusia normal.



Ia juga sebenarnya mencerminkan keinginan, keupayaan serta kesungguhan OKU menggunakan segala kudrat dan kemahiran yang ada untuk berdikari menguruskan diri atau mencari rezeki tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan.

Musa Ahmad, 61, adalah antara OKU yang membuktikan hakikat 'rezeki tidak akan datang bergolek' jika tidak berusaha. Menggunakan tulang empat kerat dengan kemampuan dan pergerakan terbatas, semua itu bukan halangan baginya mencari rezeki halal.

Lumpuh separuh badan ketika usianya baru memasuki tujuh tahun membuatkan Musa sedar beliau mesti mempunyai kemahiran tertentu bagi membolehkannya hidup berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada keluarga.



Musa merangka sarung parang yang diperbuat daripada kayu serian batu.



Bergerak menggunakan tangan dan hanya perlu duduk untuk melakukan sesuatu sebenarnya memberi kelebihan kepada Musa kerana beliau boleh menghabiskan masa yang lama di sesuatu tempat. Keadaan itulah yang mendorongnya mengusahakan kraftangan membuat hulu dan sarung parang.

Bertempat di sebuah pondok kecil di depan rumah keluarganya di Kampung Sekolah Perempuan, Lenggong Perak, Musa sudah menghabiskan usia hidupnya di situ sejak 10 tahun lalu. Rezekinya murah dan beliau cukup bertuah kerana Allahyarham ayahnya Ahmad Darta sempat mencurahkan ilmu seni 'besi' kepadanya.

"Syukurlah Tuhan bagi rezeki, ada sikit kemahiran dan saya usahakan. Setakat ini, rezeki sentiasa ada. Jika sesiapa yang berhajat atau nak menempah hulu atau sarung parang, mereka akan datang ke sini.

"Walaupun kaki saya lumpuh, tetapi Tuhan masih bagi kekuatan pada kedua-dua tangan dan akal untuk berfikir, cari idea kreatif buat kerja. Saya tak pernah menyesal dan bersyukur dengan keadaan yang ada, mungkin ada lagi orang lain yang lebih susah daripada saya," katanya.

Menyingkap sejarah ringkas hidupnya sebagai OKU, Musa menjelaskan segala-galanya bermula ketika beliau sedang menikmati hidup dengan berlari bersama rakan sebaya. Tiba-tiba beliau terjatuh dan kemudian disahkan lumpuh.

Peristiwa hitam pada 1962 itu mengakibatkan Musa terpaksa menghabiskan masa selama setahun di Hospital Kuala Kangsar sebelum dibawa ke Hospital Ipoh untuk rawatan susulan selama dua tahun. Sepanjang tempoh itu hingga dewasa membuatkan Musa sedar Tuhan masih sayangkannya tetapi sebagai manusia, sentiasa kena berusaha dan bersedia untuk hidup sebagai OKU.

Ketika Berita Minggu menemui Musa di bengkelnya, kelihatan lebih 10 pasang parang bersarung siap dipasang, semuanya sudah berpunya atau ditempah. Katanya, pelanggan akan datang bila-bila masa ambil tempahan mengikut selera masing-masing.

Selain menyiapkan sarung dan hulu parang mengikut tempatan, Musa juga membuat sendiri hulu dan sarung parang secara pasang siap dan pelanggan boleh membeli dengan harga yang agak murah atau membayar dengan nilai lebih tinggi jika mahukan barangan ekslusif yang ditempah khas.

Bayaran upah antara RM40 hingga RM180 bagi sebilah parang bersarung membolehkan Musa hidup tanpa terlalu bergantung kepada keluarga. Bahkan ada upah yang lebih mahal daripada itu bergantung kepada jenis tempahan.

Di bengkel kecil itu, Musa menghabiskan masa sepanjang siang untuk bekerja, berehat dan menyambung kerja sambil mencari idea menyiapkan corak sarung parang. Di depan bengkel terletak rumah adiknya, Sofiah dan Rozila. Di situlah Musa tinggal dan menghabiskan masa bermesra bersama anak saudaranya.

Berdasarkan hasil kreatif ukir kayu yang dimilikinya, tidak hairanlah hasil tangannya pernah menjadi hadiah kepada Istana Perak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Bagi Musa, kedudukan Lenggong yang dikelilingi hutan dan banjaran memberikan kelebihan kepada pengusaha seni kreatif kayu sepertinya kerana beliau mempunyai banyak pilihan mendapatkan pelbagai jenis kayu yang diingininya.

Kebiasaannya, beliau akan membeli kayu daripada penduduk kampung dan ada juga pelanggan yang membawa terus kayu ke bengkelnya untuk dibuat hulu dan sarung parang. Baginya, kayu paling cantik untuk dibuat sarung ialah jenis serian batu dan serian bawang.

Profil: Musa Ahmad

1) Mempunyai lima adik dan abang
2) Dilahirkan pada 17 Mac 1948
3) Berasal dari Ulu Lenggong, Perak
4) Anak kepada Allahyarham Ahmad Darta.


INFO: Jenis kayu dijadikan hulu dan sarung parang
Serian
Ciku
Rengas
Kemuning Hitam
Kuping Besi
Limau Bali
Nangka